Friday, 5 September 2014

XPDC & Eksplorasi Di Pulau Besar, Melaka.


Minat yang mendalam untuk merasai pelbagai pengalaman dalam aktiviti luar kali ini telah membawa LZhikers ke sebuah Pulau yang jarang dilawati serta diperbincangankan dikalangan peminat-peminat aktiviti luar di negara kita.

Pulau Besar yang terletak dalam jajahan negeri Melaka ini sememangnya menyimpan sejarah serta khazanahnya yang tersendiri. Tidak kurang juga dengan berita-berita misteri yang dibawa dari mulut ke mulut oleh penduduk tempatan khususnya, serta oleh pelawat-pelawat amnya.

Berikutan itu, LZhikers telah membuat keputusan untuk menyahut cabaran & menjejaki "mutiara" Melaka ini bagi merasai sendiri suasana persekitaran di pulau ini dengan mengadakan aktiviti perkhemahan serta eksplorasi ke segenap pelusuk Pulau Besar. 


Xpdc kali ini dimulakan dengan menaiki feri dari jeti Umbai di Melaka. Kekerapan jadual feri adalah 4 laluan untuk sehari. Perjalanan feri yang mengambil masa selama 40 minit dirasakan selesa serta mengujakan setiap peserta. Namun, secara peribadi, terasa jua keresahan dihati memandang terlalu banyak berita-berita misteri serta peringatan yang diberikan oleh masyarakat sekeliling melalui kajian sumber di internet yang dibuat sebelum menjejakan kaki ke sini.


LZhikers selamat tiba di jeti Pulau Besar pada kira-kira jam 2 petang. Dari jeti, kami diangkut menggunakan van pengankutan yang telah ditempah dari awal. Van berkenaan membawa kami ke tapak perkhemahan yang hanya mengambil masa kurang dari 15 minit. Kawasan tapak perkhemahan ini mempunyai prasarana yang lengkap seperti gerai makanan, tandas, surau serta beberapa chalet persendirian yang terletak di persisiran pantai. 

Namun, dari pemerhatian LZhikers disepanjang perjalanan dari jeti untuk ke tapak perkhemahan, kebanyakkan dari chalet mahupun resort di sini kelihatan terbiar kosong tanpa diselenggara walaupun kebanyakkan dari fasiliti tersebut masih dalam keadaan baru dan baik. Lebih tepat untuk dikatakan sebagai bangunan tinggal. Bagi LZhikers, ternyata ini merupakan satu permulaan yang baik ataupun sebaliknya. Apapun, kita tinggalkan dahulu isu berkenaan untuk dikupas di pertengahan blog ini untuk dibincangkan dengan lebih terperinci kelak. 


Berikut merupakan tapak perkhemahan yang telah kami pilih di pulau ini. Tapak perkhemahan yang telah sesediakan oleh pengurusan pulau ini adalah seluas satu padang bola sepak dan dipenuhi oleh pokok-pokok besar dan rimbun. Ini menjadikan kawasan persekitaran di sini redup serta nyaman. Namun, setelah diperhatikan buat beberapa ketika, ternyata hanya kami sahaja yang akan berkhemah di situ.


Keadaan ini terjadi kerana hampir 99% pengunjung yang datang ke Pulau Besar ini akan pulang ke tanah besar pada sebelah petang, termasuklah petugas-petugas serta peniaga-peniaga yang bekerja dan berniaga di sini. Manakala yang tinggal hanyalah beberapa orang yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan harta benda yang terdapat di sekitar pulau ini. Jadi, sekali lagi kita tinggalkan isu ini untuk dikupas di pertengahan blog ini nanti.


Suasana pantai dilihat dari tapak perkhemahan.


Setelah urusan memasang khemah selesai, kembara kami mulakan dengan bergerak secara berkumpulan ke serata bahagian pulau yang menghadap ke tanah besar. Gambar di atas menunjukkan eksplorasi yang dibuat pada petang tersebut telah membawa kami ke sebuah padang golf yang luas. Kelihatan juga sebahagian bangunan resort disuatu sudut di dalam gambar berkenaan. Kami mengambil masa di dalam 2 jam hanya untuk mengelilingi kawasan golf resort ini. Mungkin ada dikalangan pembaca menyatakan tiada apa yang istemewanya tentang kawasan ini. Namun bagi LZhikers, keterujaan yang kami alami di golf resort ini, adalah kerana setelah kami selesai membuat eksplorasi, ternyata hartanah mewah yang telah siap sepenuhnya serta pernah beroperasi suatu ketika dulu, kini juga merupakan salah satu bangunan tinggal di pulau ini. Malah sewaktu kami ingin memasuki kawasan ini, kami telah dihalang oleh orang yang menjaga hartanah ini di laluan masuk. Namun setelah berunding dengan baik, kami dibenarkan untuk melaluinya dengan satu syarat keras yang diberikan iaitu untuk tidak mengambil sebarang gambar tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Walau dalam keadaan tertanya-tanya, LZhikers akur dengan syarat tersebut dan memulakan langkah masuk. 

Sambil melangkah dan memerhati keadaan sekeliling, kami tidak lupa untuk saling mengingati di antara satu sama lain tentang pesanan penjaga kawasan itu tadi. Keadaan bangunan mewah dengan reka bentuk eropah ini ternyata memukau mata. Dapat kami bayangkan betapa indah persekitarannya sewaktu sedang beroperasi dahulu. Namun kini, hanya rerumput serta semak-samun yang memenuhi. Tidak ketinggalan juga sawang-sawang lelabah yang melata di setiap penjuru bangunan yang kelihatan kelam kini. Sayang seribu kali sayang apabila kami tidak dibenarkan merakamkan sebarang kenangan untuk dikongsikan kepada anda para pembaca, sehinggalah di suatu saat tatkala salah seorang dari anggota LZhikers secara tiba-tiba mengeluarkan telefon pintar beliau untuk mengambil gambar secara sembunyi-sembunyi. Dari saat itulah, kami LZhikers mempelajari sesuatu yang di luar jangkaan.

Bersambung... 












Thursday, 4 September 2014


PENDAKIAN GUNUNG YONG BELAR, CAMERON HIGHLAND

Aktiviti dimulakan dengan para peserta bertolak dari Johor, Kuala Lumpur & Kedah pada hari Jumaat 22hb Ogos 2014. Kumpulan pertama telah sampai di bandar Brinchang kira-kira jam 8 malam, lalu ckeck-in di Zul'l Homestay yang mampu menempatkan 12 hingga 16 orang dalam suatu masa.

Perjalanan serta pemanduan kami untuk ke Cameron Highland untuk yang ke sekian kali amat selesa serta dipermudahkan. Ternyata setelah beberapa kali mengadakan aktiviti di kawasan pergunungan yang terdapat di sekitar tanah strawberry ini, kebanyakkan dari peserta mungkin sudah terbiasa serta maklum akan selok-belok persekitaran.

Setelah menjamu selera di kedai makan berhampiran, kami pulang ke homestay bagi membuat persiapan untuk pendakian pada keesokan harinya sambil menanti para peserta yang lain tiba. Kumpulan kedua tiba di homestay pada jam 2 pagi.


Sabtu 23hb Ogos 2014

Kami telah diarahkan untuk berkumpul di Sekolah Menengah Kampung Raja pada jam 6 pagi. Kemudahan parking disediakan pada kadar RM10 untuk satu kereta. Manakala prasarana lain seperti bilik air untuk mandi dan sebagainya juga tersedia pada kadar RM2 seorang.


Aktiviti dimulakan dengan menaiki pacuan empat roda ke titik permulaan pendakian. Perjalanan menaiki pacuan empat roda ini mengambil masa dalam 40 minit. Keadaan permukaan jalan yang sedikit mencabar menjadikan pengalaman untuk menaiki kenderaan perkasa ini sesuatu yang dinanti-nantikan. Berikut merupakan senarai peserta yang mengikuti ekspidisi kali ini :

Fazli Scuba
Vc Chin
Alloy Tam
Devan Subramanian
Muhammad Hafiq AR
Sam Chua
Vicky Tan
May Yee Lee


Kami sempat berhenti untuk bersarapan nasi dagang & nasi lemak di gerai berhampiran.



Pendakian kali ini dimulakan dari kawasan pertanian yang sedang dibangunkan. Kami tidak memilih untuk memulakan perjalanan dari kawasan anak tangga untuk mengelak dari melalui kawasan batang paip yang licin sekaligus dapat menjimatkan masa.










Kami memutuskan untuk berkhemah di tapak Tudung Periuk. Pendakian untuk ke tapak perkhemahan ini mengambil masa selama 3 hingga ke 4 jam bagi kami yang veteran ini. Manakala bagi mereka yang masih berstamina & fresh mungkin hanya mengambil masa 1 hingga 2 jam sahaja untuk sampai ke tapak perkhemahan ini.





Kami dihidangkan dengan keadaan hujan disepanjang malam hingga ke pagi. Ini menjadikan udara persekitaran lebih sejuk serta sedikit tidak selesa. Namun keadaan-keadaan sebeginilah yang menjanjikan suatu pengalaman indah yang jarang-jarang kita perolehi di luar sana.



Sempat merakamkan kenangan berlatar belakangkan Puncak Charlie sambil merehatkan diri seketika.



Kami memulakan perjalanan turun kira-kira pada jam 10 pagi dan tiba di kawasan permulaan pendakian sehari sebelumnya pada jam 2 petang. Ketibaan kami disambut oleh pacuan empat roda yang seterusnya membawa kami semula ke SMK Kampung Raja untuk membersihkan diri dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.


Sekian catatan LZhikers untuk kali ini.

Aktiviti seterusnya adalah ekspidisi mendaki Gunung Senyum serta eksplorasi gua-gua disekitarnya pada pertengahan September 2014 akan datang. Kunjungan ke Gunung Senyum kali ini merupakan yang ke empat buat LZhikers. Semoga dipermudahkan.

"It's Not About The Peak, But The Journey That Matters"