Friday, 5 September 2014

XPDC & Eksplorasi Di Pulau Besar, Melaka.


Minat yang mendalam untuk merasai pelbagai pengalaman dalam aktiviti luar kali ini telah membawa LZhikers ke sebuah Pulau yang jarang dilawati serta diperbincangankan dikalangan peminat-peminat aktiviti luar di negara kita.

Pulau Besar yang terletak dalam jajahan negeri Melaka ini sememangnya menyimpan sejarah serta khazanahnya yang tersendiri. Tidak kurang juga dengan berita-berita misteri yang dibawa dari mulut ke mulut oleh penduduk tempatan khususnya, serta oleh pelawat-pelawat amnya.

Berikutan itu, LZhikers telah membuat keputusan untuk menyahut cabaran & menjejaki "mutiara" Melaka ini bagi merasai sendiri suasana persekitaran di pulau ini dengan mengadakan aktiviti perkhemahan serta eksplorasi ke segenap pelusuk Pulau Besar. 


Xpdc kali ini dimulakan dengan menaiki feri dari jeti Umbai di Melaka. Kekerapan jadual feri adalah 4 laluan untuk sehari. Perjalanan feri yang mengambil masa selama 40 minit dirasakan selesa serta mengujakan setiap peserta. Namun, secara peribadi, terasa jua keresahan dihati memandang terlalu banyak berita-berita misteri serta peringatan yang diberikan oleh masyarakat sekeliling melalui kajian sumber di internet yang dibuat sebelum menjejakan kaki ke sini.


LZhikers selamat tiba di jeti Pulau Besar pada kira-kira jam 2 petang. Dari jeti, kami diangkut menggunakan van pengankutan yang telah ditempah dari awal. Van berkenaan membawa kami ke tapak perkhemahan yang hanya mengambil masa kurang dari 15 minit. Kawasan tapak perkhemahan ini mempunyai prasarana yang lengkap seperti gerai makanan, tandas, surau serta beberapa chalet persendirian yang terletak di persisiran pantai. 

Namun, dari pemerhatian LZhikers disepanjang perjalanan dari jeti untuk ke tapak perkhemahan, kebanyakkan dari chalet mahupun resort di sini kelihatan terbiar kosong tanpa diselenggara walaupun kebanyakkan dari fasiliti tersebut masih dalam keadaan baru dan baik. Lebih tepat untuk dikatakan sebagai bangunan tinggal. Bagi LZhikers, ternyata ini merupakan satu permulaan yang baik ataupun sebaliknya. Apapun, kita tinggalkan dahulu isu berkenaan untuk dikupas di pertengahan blog ini untuk dibincangkan dengan lebih terperinci kelak. 


Berikut merupakan tapak perkhemahan yang telah kami pilih di pulau ini. Tapak perkhemahan yang telah sesediakan oleh pengurusan pulau ini adalah seluas satu padang bola sepak dan dipenuhi oleh pokok-pokok besar dan rimbun. Ini menjadikan kawasan persekitaran di sini redup serta nyaman. Namun, setelah diperhatikan buat beberapa ketika, ternyata hanya kami sahaja yang akan berkhemah di situ.


Keadaan ini terjadi kerana hampir 99% pengunjung yang datang ke Pulau Besar ini akan pulang ke tanah besar pada sebelah petang, termasuklah petugas-petugas serta peniaga-peniaga yang bekerja dan berniaga di sini. Manakala yang tinggal hanyalah beberapa orang yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan harta benda yang terdapat di sekitar pulau ini. Jadi, sekali lagi kita tinggalkan isu ini untuk dikupas di pertengahan blog ini nanti.


Suasana pantai dilihat dari tapak perkhemahan.


Setelah urusan memasang khemah selesai, kembara kami mulakan dengan bergerak secara berkumpulan ke serata bahagian pulau yang menghadap ke tanah besar. Gambar di atas menunjukkan eksplorasi yang dibuat pada petang tersebut telah membawa kami ke sebuah padang golf yang luas. Kelihatan juga sebahagian bangunan resort disuatu sudut di dalam gambar berkenaan. Kami mengambil masa di dalam 2 jam hanya untuk mengelilingi kawasan golf resort ini. Mungkin ada dikalangan pembaca menyatakan tiada apa yang istemewanya tentang kawasan ini. Namun bagi LZhikers, keterujaan yang kami alami di golf resort ini, adalah kerana setelah kami selesai membuat eksplorasi, ternyata hartanah mewah yang telah siap sepenuhnya serta pernah beroperasi suatu ketika dulu, kini juga merupakan salah satu bangunan tinggal di pulau ini. Malah sewaktu kami ingin memasuki kawasan ini, kami telah dihalang oleh orang yang menjaga hartanah ini di laluan masuk. Namun setelah berunding dengan baik, kami dibenarkan untuk melaluinya dengan satu syarat keras yang diberikan iaitu untuk tidak mengambil sebarang gambar tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Walau dalam keadaan tertanya-tanya, LZhikers akur dengan syarat tersebut dan memulakan langkah masuk. 

Sambil melangkah dan memerhati keadaan sekeliling, kami tidak lupa untuk saling mengingati di antara satu sama lain tentang pesanan penjaga kawasan itu tadi. Keadaan bangunan mewah dengan reka bentuk eropah ini ternyata memukau mata. Dapat kami bayangkan betapa indah persekitarannya sewaktu sedang beroperasi dahulu. Namun kini, hanya rerumput serta semak-samun yang memenuhi. Tidak ketinggalan juga sawang-sawang lelabah yang melata di setiap penjuru bangunan yang kelihatan kelam kini. Sayang seribu kali sayang apabila kami tidak dibenarkan merakamkan sebarang kenangan untuk dikongsikan kepada anda para pembaca, sehinggalah di suatu saat tatkala salah seorang dari anggota LZhikers secara tiba-tiba mengeluarkan telefon pintar beliau untuk mengambil gambar secara sembunyi-sembunyi. Dari saat itulah, kami LZhikers mempelajari sesuatu yang di luar jangkaan.

Bersambung... 












No comments:

Post a Comment